JITRA: Seorang pemilik bengkel behadapan hukuman gantung apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja seberat 35.5 kilogram (kg) di Changlun pada 4 Disember lepas.

Tertuduh, Lee Chee Thiam, 50, mengangguk tanda faham sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret, Nurul Huda Idris.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan mahkamah daripada tertuduh kerana menunggu laporan kimia.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis ganja di sebuah bengkel kereta di Changlun sekitar pukul 3.30 petang pada 4 Disember lepas.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori sekiranya sabit kesalahan.

Sebelum itu, pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Karthy Gasedev manakala tertuduh diwakili peguam dari Ravi Shankar Gandhi & Associates.

Majistret menetapkan tarikh 29 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Chee Thiam seterusnya dibawa ke Penjara Alor Setar untuk menjalani tempoh tahanan.

Dalam kejadian 7 Disember lepas, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas 35 ketulan ganja mampat seberat 35.5 kilogram bernilai RM142,000 disorok dalam trak pikap di sebuah bengkel membaiki kenderaan di Changlun.

Pengarah JKDM Kedah, Nor Izah Abd Latiff berkata, serbuan pada sekitar pukul 3.30 petang dijalankan oleh sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan Alor Setar di bengkel tersebut selepas hasil pemantauan rapi selama dua minggu.

Beliau memaklumkan, dadah tersebut dalam empat kotak putih disorok dalam trak pikap bernombor pendaftaran negara jiran di bengkel tersebut bagi mengaburi mata pihak berkuasa.